Safee mahu penuhi impian

“HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”

Demikian titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah semalam ketika diminta mengulas penghijrahan penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Sultan Ahmad Shah seolah-olah tidak mahu lebih ramai pemain negara ‘meninggalkan’ saingan Liga Malaysia tetapi pada masa sama tidak berniat menghalang kehendak mereka.

“Bagi saya lebih baik pemain kita kekal beraksi di Malaysia saja. Tapi menghalang tidak, menyuruh pun tidak. Cuma pemain perlu fikir mendalam.

“Jika mereka pergi untuk menambah sumber pendapatan dan mencari pengalaman, saya tiada hak menghalang kerana itu masa depan mereka,” titah baginda ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Namun Safee yang turut ditemui di lokasi sama semalam berkata, dia menghormati pandangan Sultan Ahmad Shah itu tetapi penghijrahan ke Indonesia semata-mata untuk memenuhi impian dan cita-citanya beraksi di liga luar.

“Memang beraksi di Liga Malaysia permainan kita boleh meningkat. Tapi sebagai pemain profesional, saya ada impian bermain di luar dan ketika ini peluang tersebut di depan mata,” jelas Safee.

Safee, 27, bersama isteri, Sabarina Yusof serta dua anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan setahun bakal berlepas ke Jakarta, Indonesia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 711 pada 9.10 pagi ini.

Begitupun, Safee mempunyai tempoh tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan kelab barunya itu kerana aksi pertama pusingan kedua Liga Super Indonesia hanya akan bermula pada 7 Mac depan dengan Pelita Jaya bertemu Persib Bandung.

“Tiada sasaran peribadi. Cuma saya harap dapat menemui segera sentuhan jaringan apabila beraksi di sana nanti serta membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan dalam liga,” ujarnya.

Safee beraksi untuk Kuala Lumpur selama tiga musim (2003-2005) sebelum berhijrah ke Sarawak selama semusim (2006) dan menyarung pula jersi Selangor bermula musim 2007 sehingga aksi terakhirnya kelmarin.

Read More

Safee buru gol ke-110

ANGKA 10 tampak sudah sebati dalam diri Mohd. Safee Mohd. Sali apabila dia menggunakan nombor berkenaan pada jersi skuad kebangsaan dan skuad Selangor.

Malah untuk pasukan barunya, Pelita Jaya yang akan disertai Safee pada Isnin ini, penyerang sensasi negara itu turut diberikan jersi No. 10.

Justeru bagi aksi terakhirnya bersama Selangor apabila turun menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam malam ini, Safee, 27, bakal memburu satu lagi angka penting iaitu gol ke-110 peribadinya bagi aksi peringkat kelab.

Sejak bergelar pemain profesional pada 2003, Safee kini sudah pun menjaringkan 109 gol dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC.

Safee menjaringkan 24 gol sepanjang tiga musim bersama Kuala Lumpur (2003-2005), 19 gol sepanjang semusim bersama Sarawak (2006) dan 65 gol sepanjang empat musim bersama Selangor (2007-2010).

Bagi musim 2011, selepas beraksi dua perlawanan, Safee berjaya merekodkan gol ke-109 ketika dia membuka jaringan Selangor sewaktu menewaskan Perlis 2-0 pada 1 Februari lalu.

“Memang semangat untuk turun perlawanan terakhir bersama Selangor esok (hari ini) agak lain macam. Lebih-lebih lagi bertemu Kuala Lumpur, pasukan pertama saya.

“Apa pun saya berhajat mencari gol ke-110 pada perlawanan ini dan memberikan tiga mata penuh buat Selangor sebagai menghargai para penyokong yang hadir ke stadium,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya tentang hajat Kuala Lumpur mahu ‘mencalarkan’ malam perpisahannya itu, Safee tetap yakin bahawa Selangor memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan.

“Memang saya akui Kuala Lumpur kini pada tahap terbaik selepas mereka seri 1-1 dengan Perak dan menewaskan Sabah 1-0.

“Tapi Selangor memiliki barisan pemain yang lebih berkualiti. Jadi tiada sebab untuk kami tewas kepada Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri,” jelas Safee.

Pemain kelahiran Kajang itu turut menyatakan bahawa dia akan melakukan penghormatan terakhir kepada para penyokong selepas perlawanan malam ini.

“Ini perlawanan terakhir saya bersama Selangor musim ini tetapi ia bukan perlawanan terakhir saya bersama Selangor. Saya akan tetap kembali suatu hari nanti,” tambah Safee yang akan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Isnin ini.

KEPUTUSAN
LIGA SUPER

(SEMALAM)

PERLIS 1 TERENGGANU 3

JADUAL
LIGA SUPER

(HARI INI)

SABAH lwn KEDAH
Stadium Likas, Kota Kinabalu, 4.15 ptg

KELANTAN lwn JOHOR FC
Stadium Sultan Muhammed IV, 8.45 mlm

SELANGOR lwn KUALA LUMPUR
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm

T-TEAM lwn HARIMAU MUDA A
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

FELDA UNITED lwn PAHANG
Stadium Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

PERAK lwn NEGERI SEMBILAN
Stadium Perak, Ipoh, 8.45 mlm
Read More

Harimau Muda uji ‘kekuatan’

SKUAD Olimpik negara, Harimau Muda A bakal menjadikan dua aksi Liga Super bertemu T-Team di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini dan Perlis pada Selasa depan sebagai medan menguji kekuatan sebelum menghadapi Pakistan, 23 Februari depan.

Jurulatihnya, Ong Kim Swee berkata, dia perlu menggunakan dua perlawanan tersebut bagi menguji barisan pemainnya selain taktikal baru yang ingin disesuaikannya menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 itu.

“Saya baru pulang dari Bangkok semalam (kelmarin) untuk ‘mengintai’ perlawanan persahabatan di antara skuad Olimpik Thailand dan skuad Olimpik Pakistan pada Rabu lalu.

“Biarpun Pakistan tewas 1-2, saya lihat mereka sebuah pasukan yang cukup bagus, tersusun dan berdisipilin. Mereka mempunyai strategi mengikut kekuatan sendiri.

“Mereka banyak menggunakan hantaran jauh. Jadi saya akan buat sedikit perubahan taktikal untuk disesuaikan dengan corak Pakistan dan ia akan diuji apabila kita bertemu T-Team dan Perlis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namun Kim Swee terpaksa ‘mengorbankan’ aksi pusingan pertama Piala FA menentang SDM Navy pada Jumaat depan untuk mengelak kemungkinan berlaku kecederaan terhadap pemainnya menjelang aksi bertemu Pakistan itu.

“Saya akan turunkan pemain simpanan bertemu SDM Navy tetapi itu bukan bermakna saya pandang rendah lawan. Tapi kami mempunyai misi lebih utama iaitu kelayakan Olimpik.

“Ketika ini pun saya terpaksa melupakan terus penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan yang memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan hamstring. Saya tak mahu ada pemain lain pula yang cedera,” jelasnya.

Daripada 30 pemain Harimau Muda A ketika ini, Kim Swee hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan serta ditambah lima pemain ‘luar’ terdiri daripada Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

“Mujur Negeri Sembilan dan Kedah mendapat bye pusingan pertama Piala FA. Jadi mereka mungkin dapat menyertai latihan kita bermula Rabu depan manakala Khairul Fahmi pada Sabtu depan selepas Kelantan bertemu T-Team.”

Skuad Olimpik negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari sebelum bertandang pula ke tempat lawan pada 9 Mac depan.
Read More

Sultan Ahmad Shah calon Presiden AFF


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Worawi Makudi telah dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Kerusi Presiden AFF kosong setelah penyandangnya sejak tahun 1996, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail tidak berhasrat untuk terus mempertahankan jawatan tersebut untuk pemilihan kali ini.

Justeru dua calon telah dicadangkan untuk menjadi Presiden AFF yang baru iaitu Sultan Ahmad Shah yang mendapat pencalonan daripada FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) manakala Worawi yang dicalon sendiri oleh FAT.

Berdasarkan reputasi, Sultan Ahmad Shah dianggap sebagai calon lebih layak berdasarkan pengalamannya sebagai Presiden FAM sejak 1984 serta pernah menjadi Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain itu, anggota-anggota AFF turut dikhabarkan lebih cenderung untuk memilih Sultan Ahmad Shah kerana yakin baginda mampu membawa AFF ke tahap yang lebih tinggi.

Namun keputusan hanya akan diketahui ketika apabila pemilihan tersebut berlangsung pada Kongres AFF yang dijadualkan bakal berlangsung di Bangkok, Thailand pada 10 April depan.

AFF ditubuhkan pada 31 Januari 1984 dan sekretariatnya terletak di Jalan SS 3/76, Kelana Jaya, Selangor.
Read More

NS Betaria mahu kuasai Liga FAM

SAINGAN liga divisyen tiga kebangsaan, Liga FAM 2011 bakal memulakan aksinya esok dengan menampilkan penyertaan 11 buah pasukan.

Ia membabitkan empat pasukan musim lalu iaitu KL Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Melodi Jaya, MBJB dan UiTM serta dua pasukan tercorot Liga Premier musim lalu, Melaka dan Shahzan Muda.

Baki lima lagi slot diisi pendatang baru iaitu NS Betaria, Tentera Darat, Kor RAMD, TUDM Hornet dan KL Rapid.

Bagi NS Betaria, mereka memasang hajat besar untuk meraih dua tempat teratas sekali gus dinaikkan ke saingan Liga Premier musim depan.

Jurulatih NS Betaria, Hamdan Ibrahim berkata, skuad yang diuruskan bekas pemain kebangsaan, B. Rajanikadhn itu mempunyai fokus mencapai sasaran tersebut tetapi pada masa sama mengetahui cabaran yang bakal dihadapi.

“Ketika saya membimbing Ban Hoe Leong (BHL) pada aksi Liga FAM dua tahun lepas, saingan tidaklah begitu kompetitif apabila terdapat jurang kelompok pasukan atasan dan bawahan.

“Tapi untuk musim 2011 ini, saya lihat saingan bakal menjadi lebih kompetitif kerana disertai 11 buah pasukan dan kesemua pasukan tampak bersemangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Hamdan, NS Betaria diperkuat beberapa pemain berpengalaman seperti Cik Hishamudin Hassan (Kelantan), Hardy Ahmad (Felda United), Faizal Yusof (Pulau Pinang) dan K. Sathian (Negeri Sembilan).

Malah seorang lagi pemain mereka iaitu Azari Derma Raju merupakan adik kepada pemain pertahanan Selangor, Yosri Derma Raju.

“Kami harap dapat mencuri tiga mata penuh apabila bertemu KL SPA di Bangi pada Ahad ini (esok) sebelum turun aksi sulung tempat sendiri bertemu Melaka di Stadium Tampin pada 27 Februari depan,” ujar Hamdan.

Musim lalu, Sime Darby muncul juara manakala SDM Navy di tempat kedua. Mereka kini beraksi di Liga Premier.


JADUAL
LIGA FAM 2011

(ESOK)

TUDM HORNET lwn MELODI JAYA
Stadium Mini Jugra, Banting, 4.45 ptg

KL SPA lwn NS BETARIA
Stadium Permata Petronas, Bangi, 4.45 ptg

MELAKA lwn KOR RAMD
Stadium Hang Tuah, Melaka, 4.45 ptg

UiTM lwn TENTERA DARAT
Stadium UiTM, Shah Alam, 4.45 ptg

SHAHZAN MUDA lwn KL RAPID
Stadium Temerloh, Pahang, 8.45 mlm
Read More

Liga Premier: PKNS FC kekal rentak cemerlang

KELAB dari Selangor, PKNS FC meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) 2-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada aksi Liga Premier semalam.

Pada perlawanan sulung 31 Januari lalu, skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu meraih tiga mata penuh di laman sendiri setelah menewaskan Sime Darby 1-0.

Petang semalam, dua gol PKNS pada aksi di tempat lawan itu telah dijaringkan oleh Ahmad Tharmini Saiban dan Khairul Akhyar Husain.

Turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut ialah USM FC yang berjaya menewaskan SDM Navy 3-2 di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Gol-gol USM FC dijaringkan Baser Napae pada minit ke-52, Fauzan Zainal Abidin (57) dan Failee Ghazli (90) manakala dua gol SDM Navy disumbang S. Thevan (22) dan Ibrahim Ani (54).

Pada aksi pertama, USM FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM di laman sendiri.

Di Stadium Selayang pula, Pos Malaysia yang mengikat Johor 1-1 pada aksi sulung tempoh hari mula menampakkan kegarangan setelah membelasah Pulau Pinang 4-0 petang semalam.

Gol-gol skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu telah dijaringkan oleh S. Sumindran (2), G. Puaneswaran dan Zafran Olibullah.

Sementara itu, di Stadium Negeri, Kuching, perlawanan di antara Sarawak dan Harimau Muda B berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Harimau Muda B mendahului tiga kali menerusi jaringan D. Sarvindran (m-27), Syafiq Shalihin Mohd. Noor (m-56 dan m-80) sebelum Sarawak menyamakan kedudukan tiga kali menerusi Bobby Gonzales (m-44), Asri Chu Chu (m-73) dan Khairul Azahar Eidros (m-85).

Dua baki aksi Liga Premier yang berlangsung malam tadi menyaksikan Sime Darby tewas 0-1 kepada Johor di Stadium MBPJ, Kelana Jaya manakala PDRM seri 1-1 dengan ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Read More

Rajagobal boleh tidur lena


“SAYA gembira kerana para pemain masih menunjukkan kesungguhan untuk mencipta kemenangan. Ternyata mereka masih mengekalkan mentaliti itu dan terus mempertahankannya. Ini satu perkembangan yang sihat.”

Demikian pengakuan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal setelah menyaksikan anak-anak buahnya meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-43 dan pemain gantian, Amirulhadi Zainal pada masa kecederaan sudah cukup untuk menggembirakan kira-kira 10,000 penyokong setia Harimau Malaya yang hadir ke stadium.

Malaysia kini menduduki ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong di tangga ke-143.

Ia merupakan aksi pertama skuad kebangsaan setelah kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada 29 Disember lalu.

Skuad kebangsaan menguasai separuh masa pertama dan Hong Kong hanya bangkit pada babak kedua menerusi beberapa percubaan ke arah Khairul Fahmi Che Mat yang kemudiannya digantikan dengan Farizal Marlias pada minit ke-58.

“Saya puas hati dengan persembahan pemain. Bukan mudah untuk kita meneruskan rentak di pentas antarabangsa selepas menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

“Kita bermula baik pada babak pertama menerusi beberapa peluang (Safee Sali minit ke-12 dan Mahali Jasuli minit ke-31). Biarpun Hong Kong bangkit pada babak kedua, kita juga mendapat peluang terbaik menerusi rembatan S. Kunanlan (minit ke-65) yang terkena tiang,” jelas Rajagobal.

Semua pemain skuad kebangsaan kini kembali ke pasukan masing-masing untuk menyambung aksi Liga Super sebelum kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi aksi persahabatan seterusnya pada 25 atau 29 Mac depan.

“Kita telah hantar surat kepada beberapa negara untuk cuba memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan setiap bulan.

“Tapi sebenarnya bukan mudah untuk mendapat pasukan. Apa pun, kita cuba untuk mendapatkan satu lagi perlawanan pada Mac atau April,” kata Rajagobal.

Namun beberapa pemain kebangsaan seperti Khairul Fahmi, Mahali, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, K. Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani, Faizal Muhamad dan Izzaq Faris Ramlan akan turun beraksi menentang Pakistan pada pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, 23 Februari depan.

Skuad Olimpik negara yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee membariskan majoriti pemain dari skuad Harimau Muda A serta diperkuat beberapa pemain lain yang masih berusia bawah 22 tahun.
Read More

Posisi Safiq tak terjamin di Selangor


NAMA Safiq Rahim begitu gah di peringkat antarabangsa selepas kejayaannya muncul sebagai kapten pertama skuad kebangsaan yang berjaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF pada 29 Disember lalu.

Kecemerlangan Safiq, 24, menjadi jeneral di bahagian tengah skuad kebangsaan berterusan malam kelmarin apabila dia menjaringkan gol pertama ketika menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam.

Namun ia belum menjamin kedudukan selesa buat Safiq dalam pasukan negerinya, Selangor apabila dia hanya diletakkan di posisi sayap kiri pada aksi sumbangsih menentang Kelantan dan sekadar menjadi pemain gantian ketika bertemu Perlis selepas itu.

Situasi itu sebenarnya turut menarik perhatian jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yang mengakui bahawa dia melihat Safiq kurang menyerlah apabila diletakkan di posisi sayap oleh jurulatih Selangor, K. Devan kerana posisi tengah diberikan kepada Amri Yahyah dan Hardi Jaafar.

“Dia (Safiq) bermain dengan cukup baik di posisi tengah. Memang aksinya kurang baik ketika bersama Selangor kerana bagi saya, Safiq sesuai diletakkan sebagai pemain tengah,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.

Bukti keyakinan Rajagobal terhadap kemampuan Safiq, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang dibesarkan di Kuala Selangor itu terus dipilih sebagai kapten skuad kebangsaan biarpun Aidil Zafuan Radzak sudah kembali ke dalam pasukan.

“Kita dalam pasukan ini umpama satu keluarga. Tiada istilah cemburu sesama pemain. Aidil pun faham situasi dan apabila pasukan ini kekal beraksi baik, tiada keperluan untuk serta merta saya menukar ketua pasukan,” jelas Rajagobal.

Sementara itu, Safiq pada sidang media sama berkata, dia begitu gembira kerana berjaya menamatkan kemarau gol yang panjang.

“Sebelum turun beraksi, saya sudah pasang hasrat untuk menjaringkan gol pada perlawanan ini. Alhamdulillah ia tercapai. Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu.

“Tentang tugas kapten, terima kasih kepada jurulatih (Rajagobal) kerana masih percayakan saya. Tapi ia bukanlah sesuatu yang penting.

“Apa yang lebih penting, kehadiran semula Aidil memperkuatkan semula pasukan ini terutama di bahagian pertahanan,” kata Safiq.

Namun Safiq enggan mengulas lanjut mengenai nasibnya yang seolah-olah ‘dipinggirkan’ apabila beraksi bersama pasukan Selangor.
Read More

Persahabatan bola sepak: Malaysia 2 Hong Kong 0

SKUAD bola sepak kebangsaan memulakan tahun 2011 dengan rentak kemenangan setelah berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam tadi.

Gol pertama skuad kebangsaan dijaringkan kapten, Safiq Rahim pada minit ke-43 manakala gol kedua disumbang pemain gantian, Amirulhadi Zainal pada minit ke-90.

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat (1-Farizal Marlias), 18-Mahalli Jasuli (2-Sabre Mat Abu), 7-Aidil Zafuan Radzak, 27-Fadhli Shas, 4-Asraruddin Putra Omar, 16-S. Kunanlan, 8-Safiq Rahim (c), 15-K. Gurusamy (6-G. Mahathevan), 26-Ashari Samsudin (21-Amirulhadi Zainal), 13-Ahmad Fakri Saarani (9-Norshahrul Idlan Talaha), 10-Safee Sali (20-Shahrizal Saad).

HONG KONG: 1-Yapp Hung Fai, 3-Li Hang Wui (24-Tsang Kam To), 4-Deng Jinghua (5-Gerard Ambassa Guy), 15-Chan Wai Ho (c), 6-Wong Chin Hung, 12-Lo Kwan Yee, 10-Lam Ka Wai (25-Michael Cheng Lai Hin), 18-Liu Quankun, 8-Lee Hong Lim, 14-Lo Chi Kwan (23-Chu Siu Kei), 20-Ye Jia.



Read More

Persahabatan: Malaysia lwn Hong Kong


SKUAD bola sepak kebangsaan turun berdepan Hong Kong di Stadium Shah Alam malam ini untuk perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A pertama mereka bagi tahun ini.

Kemenangan sudah pasti menjadi buruan skuad Harimau Malaya sebagai menjaga status mereka sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010.

Namun bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia lebih mahu melihat para pemainnya meneruskan aksi konsisten selain memantau prestasi beberapa muka baru yang diserap kali ini.

"Saya mahu para pemain menampilkan satu aksi yang baik biarpun ini hanyalah perlawanan persahabatan. Memang keputusan penting untuk sistem ranking.

"Tapi saya utamakan jangka panjang iaitu untuk mewujudkan satu pasukan yang kuat dan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam.

Daripada 24 pemain yang dipanggil sejak 2 Februari lalu, hanya 20 pemain akan disenaraikan Rajagobal untuk aksi malam ini.

Empat pemain yang tercicir ialah Sharbinee Allawee Ramli (isteri bersalin), Amar Rohidan (demam campak), S. Chanthuru (cedera buku lali) dan Izzaq Faris Ramlan (hamstring).

Bagi Rajagobal, dia tidak mahu terlalu risau dengan pemain yang cedera atau tidak dapat diturunkan itu sebaliknya menganggap ia sebagai peluang kepada pemain lain menonjolkan kemampuan mereka.

"Saya akan gunakan peluang ini untuk menilai prestasi seseorang pemain itu sama ada dia boleh beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang atau sebaliknya," jelas pengendali berusia 55 tahun itu.

Norshahrul Idlan Talaha dan Azmi Muslim yang dikatakan cedera dilihat menjalani latihan seperti biasa petang semalam dan mereka mungkin dimasukkan sebagai pemain gantian malam ini.

Ditanya tentang pasukan Hong Kong, Rajagobal berkata: "Cara Hong Kong main sama seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara iaitu menggunakan corak permainan pantas. Jadi kami takkan pandang mudah."

Skuad kebangsaan kini berada di ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung di ranking ke-143.

KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:
Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Aidil Zafuan Radzak, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Safiq Rahim, K. Gurusamy, Ashari Samsudin, Ahmad Fakri Saarani, Safee Sali.

(HARI INI)

MALAYSIA lwn HONG KONG
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm

* Tiket RM20 dijual di Wisma FAM, Kelana Jaya (9 pagi-12 tghari) dan Stadium Shah Alam (bermula 4 petang).
Read More

Semangat Safee


PENGHIJRAHAN penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya kelmarin telah menimbulkan pelbagai persepsi.

Ramai yang menyokong keberanian Safee untuk keluar dari kepompong pemain-pemain tempatan yang selesa sekadar beraksi di Liga Super Malaysia (MSL).

Namun ada juga yang seolah-olah mempelekehkan tindakan Safee itu dengan menganggap Pelita Jaya yang disertainya kini hanya menduduki tangga tercorot ISL selepas 13 perlawanan.

Situasi tersebut nyata langsung tidak melunturkan semangat Safee, malah ia turut membuatkan pemain berusia 27 tahun itu lebih bersemangat untuk membuktikan tindakannya itu tepat.

"Saya tahu Pelita Jaya kini di tangga tercorot ISL. Jadi ia membuatkan saya bertambah teruja dan bersemangat untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga.

"Apa yang penting, saya dapat peluang beraksi sepenuhnya bersama Pelita Jaya dan ini juga merupakan langkah sulung saya untuk memasarkan diri di saingan liga luar.

"Kalau saya sertai pasukan yang lebih baik kedudukannya di ISL tetapi hanya duduk di bangku simpanan, tak guna juga," kata Safee ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam petang semalam.

Selepas berakhir aksi pusingan pertama ISL, Pelita Jaya kini di tangga ke-15 dengan 10 mata tetapi jurang mata dengan pasukan kelompok atasan sebenarnya tidaklah begitu jauh.

Malah Pelita Jaya hanya dipisahkan sembilan mata dengan pasukan di tangga keenam ISL ketika ini, Persisam.

Safee turut menegaskan bahawa penghijrahannya ke Pelita Jaya bukan semata-mata kerana wang tetapi lebih kepada kemajuan kariernya.

Pemain kelahiran Kajang, Selangor itu difahamkan diberi gaji bulanan AS$10,000 (RM30,345) oleh Pelita Jaya.

"Mungkin ramai tak tahu ranking ISL di peringkat Asia jauh lebih tinggi berbanding ranking MSL. Jadi bila ada yang kata ISL sama saja dengan MSL, mereka silap.

"Di ISL saya akan dapat merasai suasana baru dan pengalaman baru beraksi di liga luar serta dapat bersaing dengan pemain-pemain import.

"Jadi saya akan jadikan tanggapan sinis mereka ini sebagai lonjakan semangat untuk mencipta sesuatu bersama Pelita Jaya di ISL," tegas Safee yang akan berlepas ke Indonesia pada Isnin ini.

Safee menandatangani kontrak setahun bersama Pelita Jaya sehingga 31 Januari 2012 dan akan turun aksi sulungnya bersama kelab itu ketika berdepan Persib Bandung di laman sendiri pada 7 Mac depan.
Read More

Safee Sali sah sertai Pelita Jaya


PENYERANG utama skuad Liga Super Selangor, Safee Sali sah akan menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya pada 14 Februari depan.

Pengumuman berhubung perkara itu dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad pada satu sidang media khas di Wisma FAS, Kelana Jaya pada jam 2.30 petang tadi.

Sidang media itu turut dihadiri Safee sendiri, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin dan pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan.

Menurut Mokhtar, pihak FAS telah menerima permohonan daripada tiga kelab Indonesia yang cuba mendapatkan Safee dan akhirnya tawaran dibuat Pelita Jaya dianggap yang terbaik.

"Kita tak menggunakan ejen. FAS sendiri bertindak sebagai ejen kepada Safee. Mujur Datuk Hamidin mempunyai hubungan erat dengan pegawai bola sepak di Indonesia.

"Jadi kita telah memilih Pelita Jaya. Kontrak telah disediakan dan majlis menandatanganinya akan diadakan pada Isnin depan (14 Februari) di Indonesia," kata Mokhtar.

Namun FAS tidak mendedahkan berapa jumlah bayaran dikenakan terhadap Pelita Jaya sebagai menebus kontrak Safee bersama Selangor sebenarnya hanya akan berakhir pada November depan.

Menurut Hamidin, pihak FAS dan Pelita Jaya telah bersetuju untuk tidak mendedahkan nilai perpindahan dan juga jumlah gaji yang bakal diterima Safee.

"Safee akan mengikat kontrak selama setahun bersama Pelita Jaya iaitu sehingga 31 Januari 2012.

"Terdapat juga syarat dalam kontrak itu yang menyatakan Safee perlu kembali ke Selangor andai kontraknya bersama Pelita Jaya berakhir nanti.

"Jadi Safee akan beraksi perlawanan terakhirnya bersama Selangor pada Sabtu ini iaitu bertemu Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam.

"Sebagai penghormatan terakhir, Safee akan menjadi kapten pada perlawanan menentang Kuala Lumpur itu yang juga adalah bekas pasukannya," jelas Hamidin.

Di Pelita Jaya nanti, Safee akan turut menyarung jersi No. 10 sama seperti yang dikenakannya sepanjang lima musim bersama Selangor.

Bagi Safee, 27, pula, keputusannya untuk berhijrah ke Liga Indonesia dan menjadi pemain Malaysia pertama beraksi bersama kelab Indonesia sesuatu yang cukup besar demi memajukan kariernya.

"Saya anggap ini satu peluang yang tepat kerana usia saya sudah menjangkau 27 tahun. Kalau saya tak rebut, rasanya saya takkan mendapat peluang seperti ini lagi.

"Saya mempunyai alasan tertentu untuk memilih Pelita Jaya. Dengan bantuan FAS, saya rasa pilihan untuk menyertai kelab ini adalah tepat.

"Memang saya telah serahkan kepada FAS untuk membuat pilihan di antara tiga kelab ini. Saya juga dapati Pelita Jaya sesuai dengan cara permainan saya," kata Safee.

Jelas Safee lagi, dia sudah bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran dan dugaan apabila beraksi di Liga Indonesia kelak.

"Memang saya dah bersedia. Saya dah fikirkan bahawa apabila beraksi di Indonesia, mental perlu kuat dan saya sendiri akan berusaha keras untuk meningkatkan kualiti permainan.

"Sasaran saya ialah untuk membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan liga apabila saingan pusingan kedua bermula bulan depan.

"Sasaran peribadi pula, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berjaya di sana nanti," ujar Safee.

Kelibat Safee mula menjadi perhatian kelab-kelab Indonesia setelah menjadi penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 serta membantu Malaysia muncul juara menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat pada aksi final timbal balik.

Safee akan berlepas ke Indonesia pada Isnin depan dan dijangka bakal beraksi perlawanan sulung bersama Pelita Jaya pada awal bulan depan.

Safee yang dilahirkan di Kajang, Selangor tetapi dibesarkan di Tapah, Perak pada awal kariernya beraksi bersama Kuala Lumpur sebelum dia berhijrah ke Sarawak.

Safee kemudian menyertai Selangor pada penghujung Oktober 2006 untuk saingan Liga M 2006/07 tetapi disebabkan baru menjalani pembedahan ACL pada lutut kirinya, dia tidak dapat diturunkan pada awal musim tersebut.

Penampilan sulung Safee bersama pasukan Selangor ialah pada 24 Mac 2007 apabila dia masuk sebagai pemain gantian dan melakukan hantaran yang disudahkan Akmal Rizal Rakhli untuk gol kedua Selangor ketika menewaskan Pahang 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

Gol sulung Safee bersama Selangor terhasil pada aksi keduanya iaitu ketika bertemu ATM di Stadium Selayang pada pusingan kedua Piala FA pada 27 Mac 2007.

Pada perlawanan tersebut, Safee masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol iaitu gol ketiga dan keempat Selangor untuk menewaskan ATM 4-1.

SUMBER: www.faselangor.my
Read More

Liga Super 2011: Selangor bergaya, Kelantan hampa


KELANTAN gagal meneruskan retak cemerlang mereka dalam kempen awal Liga Super musim 2011 apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada pertemuan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih dengan mengutip tiga mata penuh ke atas Selangor, Sabtu lalu, skuad kendalian Datuk M. Karathu itu jelas tidak menghampakan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors apabila mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan kapten Mohd. Badri Radzi pada minit ke-35.

Begitupun, hasrat untuk mencatat kemenangan kedua berturut- turut tidak kesampaian apabila Marzuki Yusof menanduk masuk gol penyamaan Terengganu hasil hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-69.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Kelantan cuba mengasak kubu Terengganu pada baki permainan, namun ketumpulan penyudah menghalang The Red Warriors menambah jaringan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam, Harimau Muda A mudah menewaskan pendahulu liga, Pahang 3-1 untuk memberikan skuad Olimpik Malaysia itu kemenangan sulung setelah tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Namun, Pahang berjaya mendahului seawal minit kedua hasil rembatan Famirul Asraf Sayuti sebelum Harimau Muda A menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi tandukan penyerang gantian, Izzaq Faris Ramlan.

Kebangkitan skuad kendalian Ong Kim Swee itu berterusan apabila Izzaq Faris meledak gol kedua Harimau Muda A minit ke-62.

Izzaq terus menjadi 'duri dalam daging' apabila dia dijatuhkan Saiful Nizam Miswan yang terus dilayangkan kad merah pada minit ke-87 untuk Harimau Muda A dihadiahkan sepakan penalti.

Fandi Othman yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Suffian Abd. Rahman untuk gol ketiga Harimau Muda A.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, juara bertahan, Selangor bangkit daripada kekalahan pada aksi Sumbangsih, Sabtu lalu apabila berjaya menewaskan tuan rumah, Perlis 2-0.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, skuad bimbingan K. Devan itu memperoleh jaringan pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Sali (63) dan Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-76.

Perlawanan-perlawanan lain yang berlangsung malam tadi menyaksikan T-Team tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan manakala Kedah menang 1-0 ke atas Felda United.

Perak mula mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan Johor FC 1-0 manakala Kuala Lumpur menang 1-0 ke atas Sabah.

Satu-satunya aksi Liga Premier yang berlangsung semalam ialah antara Harimau Muda B menentang SDM Navy. Pada perlawanan itu Harimau Muda B menewaskan SDM Navy 2-1.
Read More

Rajagobal mahu kekal rentak


GENAP lima minggu setelah muncul juara Piala Suzuki AFF 2010, skuad bola sepak kebangsaan kembali berkumpul menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini.

Ia sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa pertama 2011 bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada Rabu depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia mengharapkan pemainnya dapat mengembalikan prestasi dan rentak cemerlang sepanjang latihan selama tujuh hari itu.

“Saya tak mahu skuad ini kehilangan rentak selepas kita menjuarai Piala Suzuki AFF. Tapi aksi persahabatan dengan pertandingan sebenar banyak bezanya dari segi tempo, suasana dan kehendak.

“Saya juga mahu melihat pemain-pemain yang tiada dalam skuad Piala Suzuki AFF yang kini dipanggil semula dapat mempamerkan kualiti masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Untuk latihan kali ini, Rajagobal memanggil 24 pemain termasuk tujuh yang tidak disenaraikan pada Piala Suzuki AFF iaitu Aidil Zafuan Radzak, Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S. Chanthuru, G. Mahathevan dan Shahrizal Saad.

Namun lima pemain dari skuad Piala Suzuki AFF tidak dipanggil kali ini iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi Johari (Kedah).

Ditanya tentang beberapa pemain kebangsaan yang dilihat tidak menyerlah pada aksi sulung Liga Super pada Sabtu lalu, Rajagobal enggan memberi komen panjang.

“Saya rasa kamu sendiri boleh lihat bagaimana permainan mereka Sabtu lalu. Apa pun sebagai jurulatih, saya akan lihat dan pantau prestasi mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rajagobal turut mengesahkan bahawa dia belum bergelar Datuk seperti apa yang tersebar di laman Facebook dan blog kelmarin yang menyatakan namanya telah tersenarai untuk mendapat gelaran itu sempena Hari Wilayah semalam.

INFO:

SENARAI 24 PELATIH UNTUK AKSI PERSAHABATAN MENENTANG HONG KONG

PENJAGA GOL: Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Sharbinee Allawee Ramli (TER), Farizal Marlias (NS).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Muslim Ahmad (HM), Fadhli Shas (HM), Mahalli Jasuli (HM), Faizal Muhamad (HM), Asraruddin Putra Omar (SEL), Sabre Mat Abu (KDH), Azmi Muslim (KDH).

TENGAH: Safiq Rahim (SEL), Amar Rohidan (KDH), K. Gurusamy (HM), G. Mahathevan (NS), S. Kunanlan (NS), S. Chanthuru (KEL), Ashari Samsudin (TER), Amirulhadi Zainal (SEL).

PENYERANG: Safee Sali (SEL), Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM), Ahmad Fakri Saarani (NS), Shahrizal Saad (JFC).
Read More

Liga Premier 2011: Sarawak, ATM bermula garang

SARAWAK dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan kempen Liga Premier 2011 dengan langkah bergaya setelah menang besar ke atas lawan masing-masing semalam.

Sarawak membelasah tuan rumah, Pulau Pinang 4-0 manakala ATM yang beraksi di laman sendiri membenam Majlis Perbandaran Muar 3-0 pada dua aksi yang berlangsung sebelah petang.

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Sarawak yang dibimbing Zaki Shaikh Ahmad mendahului Pulau Pinang kendalian Robert Scully 2-0 pada separuh masa pertama menerusi Wong Sai Kong pada minit ke-32 dan Bobby Gonzales empat minit kemudian.

Sarawak terus garang pada lewat babak kedua apabila menambah dua lagi gol hasil jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-89 dan Mazwandi Zekeria minit ke-90.

Di Stadium Selayang pula, tiga jaringan pada babak pertama sudah cukup untuk membolehkan ATM yang dibimbing Zahid Hashim mengutip tiga mata penuh.

Venice Elphi Dannykaya membuka tirai jaringan ATM pada minit ke-19 diikuti Fatrurazi Rozi (41) dan Syafiq Abd. Samad (42).

Namun ATM gagal memanfaatkan peluang untuk menambah jaringan sepanjang babak kedua.

Tiga lagi perlawanan yang berlangsung malam tadi menyaksikan PKNS menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Johor diikat Pos Malaysia 1-1 di Stadium JCorp, Pasir Gudang manakala USM FC menewaskan PDRM 1-0 di Stadium USM, Pulau Pinang.

Hanya satu perlawanan Liga Premier akan berlangsung hari ini iaitu membabitkan pertemuan Harimau Muda B dan SDM Navy di Stadium Selayang, 4.45 petang.

Read More

Liga Premier buka tirai

SAINGAN liga divisyen dua kebangsaan, Liga Premier membuka tirai dengan dua perlawanan berlangsung pada sebelah petang ini, tiga perlawanan pada sebelah malam dan satu perlawanan petang esok.

Tumpuan pasti terarah kepada pasukan PKNS kendalian Abdul Rahman Ibrahim yang mempersiakan peluang layak ke Liga Super setelah tewas perlawanan terakhir mereka musim lalu.

PKNS bakal membuka cabaran musim ini dengan berdepan juara Liga FAM musim lalu, Sime Darby kendalian Ismail Zakaria di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

Musim ini, PKNS mendapat khidmat dua bekas pemain ATM, Ahmad Tharmini Saiban dan V. Saravanan manakala sentuhan tajam penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Zamri Hassan terus ditagih.

Dua pasukan yang turun dari Liga Super musim lalu, Johor dan Pulau Pinang pula pasti berhajat mengembalikan semula maruah yang tercalar.

Johor yang dibimbing Azmi Mohamed menanti kunjungan Pos Malaysia kendalian Mat Zan Mat Aris di Stadium JCorp, Pasir Gudang manakala Pulau Pinang yang dibimbing Robert Scully menanti kunjungan skuad kendalian Zaki Shaikh Ahmad, Sarawak di Stadium Negeri, Batu Kawan.

ATM pula yang musim lalu menampilkan barisan pemain bintang tetapi gagal ke Liga Super kali ini tampil sekali lagi untuk merealisasikan hajatnya itu.

Musim ini, ATM dibimbing jurulatih, Zahid Hashim dan mereka membawa masuk beberapa pemain baru antaranya Fatrurazi Rozi, Fairuz Montana Zainal Abidin, Efendi Malek dan bekas penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata.

ATM memulakan saingan bertemu Majlis Perbandaran Muar kendalian Jacob Joseph di Stadium Selayang petang ini.

Dua baki perlawanan menyaksikan USM FC bimbingan S. Veloo bertemu PDRM kendalian K. Thaiyananthan di Stadium USM, Pulau Pinang malam ini manakala Harimau Muda B bimbingan Ismail Ibrahim bertemu SDM Navy kendalian Adam Abdullah di Stadium Selayang petang esok.

JADUAL
LIGA PREMIER

(HARI INI)

ATM lwn MP MUAR
Stadium Selayang, 4.45 ptg

PULAU PINANG mln SARAWAK
Stadium Negeri, Batu Kawan, 4.45 ptg

USM FC lwn PDRM
Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

PKNS lwn SIME DARBY
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

JOHOR lwn POS MALAYSIA
Stadium JCorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

(ESOK)

HARIMAU MUDA B lwn SDM NAVY
Stadium Selayang, 4.45 ptg
Read More

Pemain leka - Kim Swee


KESILAPAN lama berulang.

Demikian rumusan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee setelah menyaksikan skuad bimbingannya itu memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan malam kelmarin.

Menurut pengendali berusia 41 tahun itu, dia sudah banyak kali mengingatkan anak-anak buahnya supaya sentiasa berjaga-jaga ketika pasukan lawan memperolehi sepakan percuma di hadapan pintu gol.

“Ketika aksi persahabatan selama tiga bulan di Slovakia, kita sering dibolosi lawan menerusi situasi sepakan percuma. Selepas itu, para pemain berjaya mengelak kesilapan tersebut.

“Tapi kini mereka kembali leka dan membuat kesilapan serupa apabila sepakan percuma pasukan lawan berjaya ditanduk masuk Shaffik Abdul Rahman pada minit ke-87,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kim Swee menambah, pengalaman luas bekas-bekas pemain kebangsaan dalam skuad Negeri Sembilan menjadi perbezaan ketara buat pemain-pemain skuad Olimpik kebangsaan itu pada perlawanan tersebut.

“Kita mendapat sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan, Farizal Marlias yang diperolehi Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Ternyata hanya pengalaman yang telah memisahkan kita pada perlawanan ini. Tapi secara keseluruhan para pemain saya masih beraksi dengan baik,” ujarnya.

Menjelang aksi kedua bertemu pendahulu liga, Pahang di Stadium Shah Alam malam esok, Kim Swee berkata, dia tidak akan membuat rombakan besar sebaliknya hanya membuat satu atau dua pertukaran.

“Ini semua bergantung kepada tahap kecederaan tiga tonggak utama kita iaitu Muslim Ahmad, K. Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan yang tidak beraksi semalam (kelmarin) akibat kecederaan.

“Semua pemain harus berkerja keras kerana Pahang baru saja menang 3-1 dengan Perlis dan kita juga pernah tewas 0-2 kepada Pahang pada aksi persahabatan sebelum ini,” jelas Kim Swee.
Read More

Perjalanan masih jauh - Devan


KEKALAHAN 0-2 kepada Kelantan pada aksi sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah malam kelmarin seharusnya dijadikan pengajaran bermakna buat juara bertahan Liga Super, Selangor.

Skuad kendalian K. Devan itu kini menduduki tangga tercorot selepas satu perlawanan tetapi pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor itu tidak terlalu risau dengan prestasi pasukannya pada aksi sumbangsih tersebut.

“Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti itu telah menyebabkan Selangor tidak dapat meneruskan aksi permainan seperti biasa dan para pemain banyak membuat kesilapan.

“Tapi kita berjaya mendapatkan juga dua atau tiga peluang terbaik yang gagal disudahkan. Pada babak kedua, kita tunjukkan peningkatan berbanding Kelantan yang hanya bermain secara serangan balas.

“Kedua-dua gol yang kita lepas juga menerusi situasi bola mati iaitu sepakan penalti dan juga sepakan percuma.

“Saya akui para pemain tidak beraksi baik. Mungkin kerana ini perlawanan pertama. Apa pun perjalanan masih jauh lagi,” kata Devan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Biarpun Selangor menurunkan enam pemain kebangsaan iaitu Amri Yahyah, Safee Sali, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan, mereka gagal mempamerkan aksi sebenar.

Tindakan Devan mengeluarkan Amri dengan memasukkan S. Sritharan setelah ketinggalan 0-2 dianggap satu kesilapan besar apabila penyerang yang tampak berkarat itu tidak memberi apa-apa sumbangan.

Justeru Devan perlu memikirkan semula strategi atau taktikal terbaru untuk menyakinkan semula para penyokong Red Giants apabila mereka berdepan Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar malam esok.

“Saya harap menerusi kekalahan ini, para pemain semua kembali sedar kesilapan yang telah mereka lakukan dan ini dapat memberikan semula semangat baru untuk kami bangkit mempertahankan kejuaraan liga,” tegas Devan.

JADUAL
LIGA SUPER

(ESOK)

KELANTAN lwn TERENGGANU
Stadium Sultan Muhammed IV, 8.45 mlm

HARIMAU MUDA A lwn PAHANG
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm

T-TEAM lwn NEGERI SEMBILAN
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

KEDAH lwn FELDA UNITED
Stadium Darul Aman, Alor Setar, 8.45 mlm

PERAK lwn JOHOR FC
Stadium Perak, Ipoh, 8.45 mlm

KUALA LUMPUR lwn SABAH
Stadium Bolasepak KL, Cheras, 8.45 mlm

PERLIS lwn SELANGOR
Stadium Utama Negeri, Kangar, 8.45 mlm

KEDUDUKAN:

PAHANG 1 1 0 0 3 1 3
KELANTAN 1 1 0 0 2 0 3
NEGERI SEMBILAN 1 1 0 0 1 0 3
KUALA LUMPUR 1 0 1 0 1 1 1
PERAK 1 0 1 0 1 1 1
JOHOR FC 1 0 1 0 0 0 1
KEDAH 1 0 1 0 0 0 1
FELDA UNITED 1 0 1 0 0 0 1
SABAH 1 0 1 0 0 0 1
TERENGGANU 1 0 1 0 0 0 1
T-TEAM 1 0 1 0 0 0 1
HARIMAU MUDA A 1 0 0 1 0 1 0
PERLIS 1 0 0 1 1 3 0
SELANGOR 1 0 0 1 0 2 0
Read More

Piala Sumbangsih 2011: Selangor 0 Kelantan 2


KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi.

Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58.

Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang.

Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.

Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol.

Trofi kejuaraan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Turun selaku juara Piala Malaysia, tekanan hebat terpaksa dipikul Kelantan. Tapi para pemain telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi.

“Ini merupakan kali pertama Kelantan muncul juara dan saya hadiahkan piala ini buat seluruh penyokong setia Kelantan," kata Karathu.

Devan pula berkata: “Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti telah mematikan rentak permainan kami. ”

Pada perlawanan tersebut, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Astro.



SELANGOR: 22. Iqbal Suhaimi, 3. Razman Roslan, 4. Asraruddin Putra Omar, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 14. Hardi Jaafar (25. Khalid), 17. Amri Yahyah (c) (7. S. Sritharan), 8. Safiq Rahim (24. Fitri Shazwan Raduwan), 23. Fadzli Saari, 10. Safee Sali.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaludin, 6. Farisham Ismail, 17. Rizal Fahmi Rosid, 24. Zairul Fitree Ishak, 10. Solihin Kanasian, 8. Shakir Shaari, 11. Danial Fadzly Abdullah (27. Khairul Izuan Rosli) (5. Khairan Eroza Razali), 16. Badhri Radzi (c), 12. Nurul Azwan Roya, 9. Norshahrul Idlan Talaha.

PENGADIL: Yusof Mat Karim.
Read More

Piala Sumbangsih 2011: Selangor tak leka

SELANGOR turun memburu kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kesembilan di Stadium Shah Alam malam ini tatkala Kelantan pula baru pertama kali merasai bahang aksi perlawanan sumbangsih itu.

Namun ia tidak sesekali akan membuatkan Selangor mendabik dada dan leka sebaliknya mereka tetap menganggap Kelantan pasukan yang kuat berdasarkan rekod pertemuan musim lalu.

Pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kelebihan nyata milik Kelantan memandangkan daripada empat pertemuan musim lalu, mereka seri tiga kali dan satu lagi perlawanan menyaksikan Selangor tewas.

“Memang kebiasaannya apabila bertemu Kelantan, ia akan menghadirkan kesukaran buat Selangor. Rekod musim lalu pun berkelebihan kepada mereka.

“Apa pun Selangor cuma mengharapkan kehadiran penyokong sendiri dapat melebihi penyokong Kelantan untuk memastikan kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan,” kata Devan pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.

Devan turut memberi jaminan bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya malam ini biarpun tanpa kelibat tiga tonggak, Bunyamin Umar, Khairul Anuar Baharum dan Nasriq Baharom.

“Bunyamin belum pulih sepenuhnya, Khairul digantung tiga perlawanan manakala Nasriq mungkin akan berada dalam senarai 18 pemain.

“Untuk posisi pertahanan tengah, saya mungkin akan menggandingkan Yosri Derma Raju dan Asraruddin Putra Omar atau Yosri dan Nasriq. Saya akan tentukan selepas melihat sesi latihan terakhir petang ini (semalam),” jelasnya.

Perlawanan antara Selangor dan Kelantan itu juga dikira pungutan matanya untuk saingan Liga Super dan jika perlawanan berakhir dengan seri, kedua-dua pasukan akan berkongsi satu mata.

Namun tiada aksi masa tambahan 30 minit, sebaliknya penentuan sepakan penalti akan terus dibuat selepas 90 minit masa sebenar permainan untuk menentukan pemenang Piala Sultan Ahmad Shah 2011.



INFO:

PIALA SULTAN AHMAD SHAH 2011

SELANGOR
--------

KESEBELASAN KEMUNGKINAN:
(22) Iqbal Suhaimi, (3) Razman Roslan, (4) Asraruddin Putra Omar, (16) Yosri Derma Raju, (15) P. Gunalan, (20) Amirulhadi Zainal, (8) Safiq Rahim, (17) Amri Yahyah (kapten), (14) Hardi Jaafar, (23) Fadzli Saari, (10) Safee Sali.

PEMAIN SIMPANAN:
(1) Fairul Azwan Shahrullai, (21) Saiful Amar Sudar, (5) Khairul Anuar Baharom, (6) Nasriq Baharom, (7) S. Sritharan, (9) Rudie Ramli, (11) K. Depan Sakwati, (12) Bunyamin Umar, (18) Azidan Sarudin, (19) D. Surendran, (24) Fitri Shazwan Raduwan, (25) Fazilidin Khalid.

KELANTAN
--------

KESEBELASAN KEMUNGKINAN:
(19) Khairul Fahmi Che Mat, (15) Daudsu Jamaludin, (6) Farisham Ismail, (17) Rizal Fahmi Rosid, (24) Zairul Fitree Ishak, (10) Solihin Kanasian, (8) Shakir Shaari, (16) Badhri Radzi (kapten), (12) Nurul Azwan Roya, (7) Nizad Ayub, (22) Ramzul Zahini Adenan.

PEMAIN SIMPANAN:
(1) Shahrizan Ismail, (14) Halim Napi, (20) Norhadi Ubaidillah, (2) Wan Rohaimi Ismail, (3) S. Subramaniam, (4) Zul Yusri Che Harun, (5) Khairan Eroza Razali, (9) Norshahrul Idlan Talaha, (11) Danial Fadzly Abdullah, (13) Ab. Aziz Ismail, (18) Wan Zaman Wan Mustapha, (21) Khairan Ezuan Razali, (23) S. Chanthuru, (25) Khalid Jamlus.

REKOD KEJUARAAN
PIALA SULTAN AHMAD SHAH

PASUKAN JUARA
1 Selangor 8
2 Kuala Lumpur 3
3 Perak 3
4 Pahang 2
5 Kedah 2
6 Perlis 2
7 Johor 1
8 Terengganu 1
9 Sarawak 1
10 Singapura 1
11 Pulau Pinang 1
11 MPPJ FC 1

* Perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah mula diperkenalkan pada awal musim 1985.
Read More

Hajat kapten Amri


KAPTEN Selangor, Amri Yahyah berpeluang melakar sejarah tersendiri menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali ketiga berturut-turut apabila berdepan Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini.

Amri yang sudah mencecah usia 30 tahun pada 21 Januari lalu dilantik sebagai kapten Selangor pada 2009 dan trofi pertama berjaya dijulangnya selaku kapten ialah Piala Sultan Ahmad Shah.

Pada ketika itu, Amri cemerlang meledak dua gol ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 pada aksi sumbangsih 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Musim lalu pula, Amri sekali lagi mengetuai Selangor untuk menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi sumbangsih yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Justeru malam ini, Amri bertekad membawa Selangor menjulang trofi tersebut buat kali ketiga dan lebih bermakna, di gelanggang sendiri berbanding dua edisi sebelum ini.

“Saya dan rakan-rakan akan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik kami pada perlawanan esok (malam ini) dan sudah tentu kami mahu menang sekali lagi aksi sumbangsih untuk musim ini.

“Semangat kami kali ini pasti lebih membuak-buak kerana mahu membalas dendam kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia musim lalu.

“Atas alasan itu serta beraksi pula di tempat sendiri, kami semua akan beraksi habis-habisan untuk memastikan kemenangan milik Selangor,” kata Amri pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.

Perlawanan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan pemain-pemain kebangsaan yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu.

Selangor memiliki enam pemain kebangsaan iaitu Amri sendiri, Safiq Rahim, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan manakala Kelantan memiliki Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha.

Aksi malam ini turut penting buat Safee, penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 yang mahu sambutan hari lahirnya yang ke-27 hari ini berakhir dengan kegembiraan menjulang piala.
Read More

Safee buru hadiah hari lahir


PENYERANG Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali mahu menjadikan sambutan hari lahirnya yang ke-27 esok lebih bermakna dengan menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah untuk musim ketiga berturut-turut.

Secara kebetulan aksi sumbangsih yang juga perlawanan sulung Liga Super 2011 di antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Shah Alam itu jatuh pada tarikh yang sama dengan hari lahir Safee.

Selain itu, Safee turut meledak satu gol pada kedua-dua aksi sumbangsih sebelum ini iaitu ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 di Alor Setar pada 2009 dan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi pada 2010.

Bagi Safee, dia mahu mengekalkan rekod tersebut selain rentak jaringan ketika Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu apabila turun bertemu Kelantan malam esok.

“Apabila menyambut hari lahir, mestilah seseorang itu mahu menyambutnya dengan kegembiraan. Jadi saya pun mahu menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna dengan sekali lagi menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

“Saya juga bertekad meneruskan rekod jaringan saya pada dua aksi sumbangsih sebelum ini dengan meletakkan sasaran untuk menjaringkan satu atau dua gol pada Sabtu ini (esok),” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Biarpun kesuntukan masa untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain baru musim ini kerana tugasan Piala Suzuki AFF, Safee yakin gandingannya bersama Fadzli Saari musim ini mampu menggegar.

“Memang masa cukup singkat. Tapi sepanjang latihan kami berkerja keras dan akhirnya persefahaman itu sudah nampak.

“Saya meletakkan sasaran peribadi untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini setelah melakukannya pada Piala Suzuki AFF,” ujarnya.

Ditanya perkembangan terbaru tawaran kelab Indonesia terhadapnya, Safee berkata: “Masih belum ada apa-apa keputusan dicapai dan perbincangan lanjutan. Jadi buat masa ini, saya akan beri sepenuh fokus untuk pasukan Selangor.”

Bagi penyokong Selangor dan Kelantan, tiket-tiket berharga RM20 akan dijual di kaunter utama Stadium Shah Alam hari ini (9 pagi hingga 7 malam) dan esok (9 pagi hingga perlawanan bermula).


JADUAL
LIGA SUPER 2011

(ESOK)

SELANGOR lwn KELANTAN
Stadium Shah Alam, 8.55 mlm

TERENGGANU lwn SABAH
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 4.45 ptg

KUALA LUMPUR lwn PERAK
Stadium Bolasepak KL, Cheras, 8.45 mlm

JOHOR FC lwn FELDA UNITED
Stadium Jcorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

KEDAH lwn T-TEAM
Stadium Darul Aman, Alor Setar, 8.45 mlm

NEGERI SEMBILAN lwn HARIMAU MUDA A
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

PAHANG lwn PERLIS
Stadium Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

* Perlawanan Selangor-Kelantan juga merupakan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
Read More

Pos Malaysia dapat sentuhan Mat Zan

SKUAD Pos Malaysia mengharapkan sentuhan jurulatih baru, Mat Zan Mat Aris untuk membawa pasukan itu menjuarai saingan Liga Perdana musim ini, sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

Pengalaman Mat Zan, 53, yang pernah membimbing Kuala Lumpur, Terengganu, TMFC dan KL Plus diharap mampu membentuk skuad mantap biarpun Pos Malaysia tidak dibarisi pemain-pemain ternama.

Pengurus pasukan, Shaari Shazali berkata, skuad Pos Malaysia musim ini dibarisi 15 pemain lama serta sembilan muka baru iaitu Rusydee Samsudin, S. Sumindran, Saufi Ibrahim, Amri Fazal Mat Nor, Sani Nawi, Hafizudin Said, Abdullah Yusoff, Halim Che Hassan dan Khairi Hassan.

“Daripada 24 pemain kita musim ini, 14 pemain merupakan kakitangan Pos Malaysia sendiri dengan majoriti adalah posmen.

“Berkat kesungguhan pemain dan kredibiliti jurulatih (Mat Zan), saya rasa tak mustahil untuk Pos Malaysia muncul juara Liga Perdana dan sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian ke suku akhir Piala FA musim lalu.

“Biarpun kita tidak dibarisi pemain bertaraf bintang, tapi insya-allah kami akan menjadikan mereka ini bintang,” kata Shaari pada sidang media pengenalan pemain Pos Malaysia 2011 dan jersi baru tajaan Eider di ibu negara semalam.

Sementara itu, Mat Zan berkata, tugas melatih pemain bukan bintang lebih mudah berbanding melatih pemain bintang seperti ketika dia bersama KL Plus musim lalu sambil menganggap tiada bezanya melatih pasukan Liga Super atau Liga Perdana.

“Dalam latihan saya dapat lihat para pemain Pos Malaysia ini cukup bersemangat tinggi, itu bezanya. Tanggungjawab seorang jurulatih adalah untuk membimbing para pemain ke arah kejayaan pasukan.

“Jadi saya harap Pos Malaysia musim ini mampu pergi lebih jauh dan memperbaiki kedudukan mereka (tangga kelapan Liga Premier) pada musim lalu,” ujar Mat Zan.

Kapten Pos Malaysia musim ini ialah Faizal Nasir dan mereka turut mengekalkan penjaring kedua terbanyak Liga Premier musim lalu, G. Puaneswaran biarpun cuba dipancing beberapa pasukan Liga Super.


JADUAL
LIGA PERDANA 2011


(ISNIN)

JOHOR lwn POS MALAYSIA
Stadium JCorp, Pasir Gudang, 4.45 ptg

PKNS lwn SIME DARBY
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 4.45 ptg

ATM lwn MP MUAR
Stadium Selayang, 4.45 ptg

PULAU PINANG mln SARAWAK
Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 4.45 ptg

USM FC lwn PDRM
Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

(SELASA)

HARIMAU MUDA B lwn SDM NAVY
Stadium Selayang, 4.45 ptg
Read More

Liga Malaysia lebih lumayan

PELANCARAN logo baru Liga Malaysia (Liga M) berserta logo baru Liga Super dan Liga Premier semalam menandakan titik perubahan untuk melonjakkan prestij saingan liga bola sepak kebangsaan itu.

Tajaan Telekom Malaysia Berhad (TM) selama tujuh tahun sejak 2004 berakhir secara rasmi semalam sekali gus menyaksikan penaja baru, Astro bakal mencorakkan Liga M dengan tajaan RM120 juta untuk tempoh 2011-2014.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) ketika melancarkan logo baru itu turut membayangkan sesuatu yang mampu menjana kewangan setiap pasukan bertanding.

"Bermula musim ini, semua pasukan yang perlawanan membabitkan mereka disiarkan secara langsung akan diberikan sejumlah wang. Sebelum ini mereka tidak diberi apa-apa.

"Selain itu, geran tahunan setiap pasukan pula saya boleh beri jaminan akan melebihi jumlah yang mereka perolehi musim-musim sebelum ini (pasukan Liga Super RM250,000 dan pasukan Liga Perdana RM150,000).

"Bagi meningkatkan persaingan dalam Liga Super pula, jika sebelum ini hanya tiga pasukan teratas yang mendapat hadiah wang tunai, musim ini kesemua 14 pasukan akan terima hadiah wang tunai mengikut kedudukan dalam liga.

"Tapi semua jumlah ini saya tak boleh umumkan lagi kerana ia perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Kewangan yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah," kata Annuar pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada majlis itu, Annuar turut memperkenalkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSL yang baru, Stuart Michael Ramalingam menggantikan Kuhan Foo.

Beliau merupakan Konsultan Profesional Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2008 dan berpengalaman luas dalam melaksanakan penstrukturan semula dan pengkomersialan struktur bola sepak ahli-ahli badan induk itu.



Read More

Kemaskini perubahan jadual Liga M 2011


PETANG semalam FAM mengedarkan jadual terbaru Liga M 2011 kepada pihak media. Maka terdapat beberapa perubahan berbanding jadual perlawanan asal yang dikeluarkan pada 7 Januari lalu.

Mengikut jadual terbaru ini, beberapa perlawanan Liga Super ditukar harinya ke Jumaat, mungkin untuk disesuaikan dengan jadual siaran langsung di Astro. Terdapat juga beberapa perubahan venue perlawanan.

Jadi untuk memudahkan perancangan anda untuk menonton perlawanan-perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA bagi musim 2011 ini, sila klik tiga link di bawah ini untuk melihat jadual yang telah dikemaskini sebentar tadi.

JADUAL LIGA SUPER 2011
http://wanfakhrul.blogspot.com/2011/01/jadual-liga-super-2011.html

JADUAL LIGA PREMIER 2011
http://wanfakhrul.blogspot.com/2011/01/jadual-liga-premier-2011.html

JADUAL PUSINGAN PERTAMA PIALA FA 2011
http://wanfakhrul.blogspot.com/2011/01/jadual-piala-fa-2011.html
Read More