Thursday, February 24, 2011

Kelayakan Olimpik: Malaysia 2 Pakistan 0


MALAYSIA berjaya menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Namun 7,000 penyokong yang hadir sedikit kecewa apabila Malaysia gagal mencatat kemenangan lebih besar biarpun Pakistan beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua.

Ia sekali gus menyebabkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu masih perlu berhati-hati mengharungi baki 90 minit perlawanan kedua yang akan berlangsung di Lahore pada 9 Mac depan.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia tidak menunggu lama apabila berjaya memperolehi gol pertama seawal minit ketiga.

Pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyambut baik sepakan sudut Fandi Othman sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Pakistan, Yousuf Butt.

Malaysia selepas itu terus menguasai permainan dan dihidangkan dua lagi peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Namun sepakan percuma K. Gurusamy terkena palang gol pada minit ke-16 manakala rembatan Ahmad Shakir Md. Ali hasil serangan balas pada minit ke-23 diselamatkan Yousuf.

Pakistan yang jarang melakukan serangan hampir menemui jaringan pada minit ke-38 tetapi percubaan Kalim Ullah dari luar kotak penalti sedikit sipi.

Pada minit ke-45, Pakistan terpaksa beraksi 10 pemain setelah Ansar Abbas dilayangkan kad merah akibat sengaja menendang penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang itu tidak dipersiakan apabila Irfan Fazail berjaya menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Babak kedua bermula, jurulatih Pakistan, Tariq Lutfi terus melakukan pertukaran dengan memasukkan penjaga gol simpanan, Muhammad Omar menggantikan Yousuf yang cedera.

Namun tiga percubaan Ahmad Fakri Saarani tetap gagal menemui jaringan apabila rembatannya pada minit ke-57 terkena palang manakala dua kuisannya selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Pakistan.

MALAYSIA: 1.Khairul Fahmi Che Mat (c), 2.Mahali Jasuli, 15.Muslim Ahmad, 4.Fadhli Shas, 3.Affize Faisal Mamat, 8.Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (16.Wan Zack Haikal Wan Noor), 11.K. Gurusamy, 7.Irfan Fazail, 17.Fandi Othman (10.Ferris Danial Mat Nasir), 9.Ahmad Fakri Saarani, 14.Ahmad Shakir Md. Ali (6.S. Sivanesan).

PAKISTAN: 1.Yousuf Butt (18.Muhammad Omar), 4.Manzoor Ahmed, 12.Alamgir Khan, 5.Ahsan Ullah, 2.Faisal Iqbal, 11.Jadeed Khan Pathan (c) (13.Saddam Hussain), 9.Rizwan Asif, 17.Ansar Abbas, 6.Muhammad Tauseef, 7.Muhammad Adil, 10.Kalim Ullah (16.Fahad Ullah Khan).

PENGADIL: Liu Kwok Man (Hong Kong).


Kim Swee yakin Malaysia mara

BIARPUN gagal mencipta kemenangan besar, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee tetap yakin pasukannya itu akan berjaya mara ke pusingan kedua.

Pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi, Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 2-0.

Kim Swee berkata, Pakistan pasti akan beraksi corak lebih terbuka pada aksi kedua di Lahore, 9 Mac depan memandangkan lawan perlu memadam kelebihan dua gol skuad negara.

"Secara keseluruhan, kita tetap beraksi baik. Cuma pada babak kedua, penjaga gol gantian Pakistan (Muhammad Omar) cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan terbaik kita.

"Tapi 2-0 masih tetap baik bagi kami. Sudah tentu pada aksi kedua di Lahore nanti, Pakistan akan bermain secara menyerang untuk mengejar dua gol.

"Dengan Pakistan tidak beraksi secara bertahan nanti, saya yakin kita mampu menjaringkan satu atau dua gol lagi di Lahore," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua gol skuad negara dijaringkan pemain bukan penyerang iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ketiga dan Irfan Fazail minit ke-45.

Namun Kim Swee tetap mempertahankan persembahan kedua-dua penyerang yang diturunkannya malam tadi iaitu Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani.

"Saya terpaksa keluarkan Shakir pada minit ke-50 bagi mengelak risiko dia dilayangkan kad kuning kedua.

"Fakri pula berjaya mendapat tiga peluang terbaik pada babak kedua tetapi dinafikan palang gol dan kecekapan penjaga gol lawan," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Pakistan, Tariq Lutfi menyifatkan gol awal Malaysia dan kad merah diterima Ansar Abbas pada minit ke-45 sebagai punca kekalahan mereka.

"Tapi kami tetap berjaya memberikan tentangan yang cukup baik ditambah pula Malaysia diberi sokongan padu penyokong mereka. Ia turut menjejaskan rentak kami.

"Harap kami dapat mempamerkan satu lagi persembahan baik pada 9 Mac depan. Dengan sokongan penyokong di Lahore nanti, saya yakin kami mampu memadam defisit dua gol ini," kata Tariq.

3 comments:

baincardin said...

Tahniah Malaysia! ^_^

February 24, 2011 at 11:24 AM
ayop selatan said...

masih adad kekurangan yg perlu diperkemaskan...

February 24, 2011 at 12:00 PM
Saupz said...

tahniah malaysia.. utk next game nanti.. kalau Syahrul Azwari dah pulih.. better turunkan semua squad asal HMA dan apex aje.. rase mcm x serasi penyerang yg 2 org tue ngan HMA.

tahniah skali lagi

February 24, 2011 at 10:28 PM